Selasa, 13 Julai 2010

Rakyat Sabah Sokong Agar Isu Jawatan Di Jabatan Persekutuan Diselesaikan Segera.

Rakyat di negeri ini melahirkan sokongan atas kenyataan beberapa pemimpin di negeri ini yang menggesa agar pihak Kerajaan Persekutuan memberi peluang kepada anak tempatan Sabah yang sudah berpengalaman dan berlayakan untuk menjawat jawatan tertinggi di mana-mana Jabatan Persekutuan di negeri ini.

Isu Ketua-Ketua Jabatan Persekutuan di negeri Sabah yang masih banyak disandang oleh pegawai dari Semenanjung Malaysia perlu diselesaikan segera, ini penting bagi mengubah sentimen rakyat negeri Sabah yang merasa dianaktirikan dalam soal pembahagian jawatan dalam Jabatan Persekutuan di negeri ini.

Wakil media telah mendapatkan pandangan daripada beberapa penduduk di negeri ini berhubung perkara tersebut.

Penduduk dari Pekan Telipok, Wainin Setimin seorang peniaga, berkata beliau menyokong penuh dengan cadangan beberapa pemimpin negeri supaya rakyat Malaysia di negeri Sabah diberi peluang untuk menjawat jawatan sebagai Pengarah di Jabatan Persekutuan dan juga Agensi Kerajaan Persekutuan yang wujud di negeri ini.

Wainin yakin pucuk pimpinan atasan dapat merasakan denyutan nadi kehendak rakyat di Sabah yang sejak sekian lama telah berulangkali menyuarakan isu yang sama.

“ Secara peribadi saya berpendapat jika sekiranya cadangan serta pandangan dari pemimpin di negeri ini dan juga pandangan serta sokongan rakyat ini dapat direalisasikan, parti yang menjadi pemerintah di Sabah iaitu BN Sabah akan terus mendapat sokongan serta bertambah mantap di negeri ini.” katanya lagi.

Bagi Wilhelmina Mimie Janing, penduduk dari dearah Penampang turut melahirkan rasa gembira dengan pandangan serta gesaan para pemimpin berhubung isu itu.

Wilhelmina yakin, ramai anak jati Sabah yang berpotensi untuk menjawat sebagai Pengarah di mana-mana Jabatan Persekutuan di negeri ini.

Menurut Wilhelmina lagi , seperti yang rakyat di negeri ini sedia maklum ramai di kalangan pegawai senior yang sedang bertugas di Jabatan-Jabatan Persekutuan di negeri ini telahpun berpengalaman dan boleh melaksanakan tugas yang diamanah dengan baik dan berdedikasi.

“ Saya berharap sangat agar isu ini diselesaikan dengan segera ini kerana ramai di kalangan anak tempatan di negeri ini yang berpotensi untuk menjawat jawatan tinggi sebagai Pengarah.

“ Selain itu perlantikan penduduk tempatan juga dapat membantu pihak kerajaan mengurangkan perbelanjaan terhadap pembayaran gaji dan elaun yang tinggi kepada penjawat tinggi jabatan dari Semenanjung ke Sabah.” tegasnya lagi.

Sementara itu, Mohd Fadly Eman, penduduk dari daerah Tuaran berpendapat isu tersebut suatu isu yang belum dapat diselesai sepenuhnya oleh pihak yang berkenaan.

Kata Mohd Fadly, isu tersebut perlu diperhalusi oleh pihak Kerajaan Persekutuan seterusnya dipertimbangkan dengan sewajarnya demi memastikan kepentingan rakyat di negeri ini terjaga dengan sebaik mungkin.

“ Walaupun telah ada usaha ke arah itu, tetapi gerakannya terlalu lambat, sesuai dengan saranan Ketua Pemuda Pergerakan Pemuda Bersatu Sabah, Jahid Jahim yang memohon kepada pucuk pimpinan agar proses tersebut dipercepatkan termasuklah perlantikan-perlantikan keahlian daripada Sabah dalam Lembaga-Lembaga Pengarah samada di Petronas, Felda mahupun badan-badan GLC kerajaan yang lain.” tambah Mohd Fadly.

Manakala bagi Kamaruddin Salindre, penduduk dari daerah Tawau berpendapat isu tersebut merupakan salah satu tuntutan kemerdekaan yang termasuk dalam 20 perkara.

Menurutnya , seharusnya anak tempatan yang sudah berpengalaman dan berkelayakan di Jabatan-Jabatan Persekutuan di negeri ini diberikan peluang untuk mentadbir kerana lebih memahami budaya rakyat di negeri ini.

“ Pemberian jawatan-jawatan tertinggi dalam kerajaan untuk anak-anak Sabah yang berkemampuan adalah penting, kalau jawatan Pengarah di Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional negeri Sabah pun gagal diberikan kepada anak tempatan, apakah maknanya merdeka bersama Tanah Melayu pada usia 47 tahun.” tegas Kamaruddin lagi.

Sebelum ini, isu tersebut turut mendapat reaksi positif dari Ketua Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Jahid Jahim, Ketua Bahagian Parti Bersatu Sabah Bahagian Kiulu, Datuk Louis Rampas merangkap Ahli Majlis Tertinggi Parti Bersatu Sabah, Ahli Majlis Tertinggi Parti Bersatu Sabah, Bahagian Pitas, Ng Loi Tect, Pengerusi Parti SAPP Bahagian Tamparuli, Chua Hian Hock dan Timbalan Presiden Parti SAPP Sabah, Datuk Eric Majimbun.

2 ulasan:

Ryzal72 berkata...

Assalamualaikum Bro,
Kadang2 kita kena fikir juga dari pespektif yang lebih luas yakni perlunya suntikan integrasi. Kebanyakann orang bukan sabahan yang menjawat jawatan penting di Sabah itupun bukannya ramai. Senario ini juga berlaku di mana-mana negeri di semananjung, di mana ada orang dari negeri sembilan menjadi pengarah di Selangor, dari Johor menjadi pegawai kanan di Kedah etc. Jadi kadang2 kita kena melihat dari skop yang lebih terbuka. KAfang-kadang jika diberikan kepada orang Sabah sendiripun akan menyebabkan banyak masalah seperti keadilan dalam urusan. Contohnya, jika diberikan kepada orang Bajau maka orang kadazan aan terpinggir, jika diberikan kepada kadazan orang suluk pula yang terasing. Jadi polemik akan tidak dapat diselesaikan makanya produktiviti tidak akan berkembang.
Saya hanya bersetuju jika penghadan dibuat dalam kontek peratusan, misalnya 30% shj jawatan itu diberikan kepada orang bukan sabahan, selebihnya adalah kepada orang Sabah. Ianya bukan untuk menhambil hak orang Sabah tetapi adalah demi untuk integrasi supaya wujud satu budaya kerja dan sosial yang harmoni antara rakyat Sabah dan Semenanjung.

asalada berkata...

saya setuju supaya jabatan2 tertentu biarlah diberikan kepada orang sarawak atau malaya TETAPI 30% sebenarnya satu angka yang besar. kita ada 90 jabatan persekutuan di sabah. 30% daripada 90 bermakna 27 jabatan. 10 sudah memadai untuk mereka. LAGI, melantik non sabahan dalam jabatan persekutuan BUKAN penyumbang kepada integrasi nasional. malah ia menebalkan rasa benci kalangan kakitangan bawahan. integrasi nasional paling sesuai disemai melalui sistem pendidikan negara dan program belia. sekadar pendapat...tq