Jumaat, 17 September 2010

Najib-Kerajaan Tidak Tolak Untuk Lantik Anak Sabah.



Kerajaan tidak menolak cadangan untuk menempatkan anak Sabah sebagai Ketua Jabatan Persekutuan di negeri ini.


Malah, ketika ini, 37 daripada 80 jawatan Ketua Jabatan Persekutuan di peringkat negeri diisi oleh orang Sabah.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, berkata Kerajaan sendiri sentiasa berusaha menghantar mereka yang layak bukan sahaja untuk mengisi Ketua Jabatan Persekutuan di peringkat negeri.

Malah tambah beliau peluang tersebut juga diberikan kepada anak Sabah di peringkat persekutuan di Kuala Lumpur dan Putrajaya.


" Ini sekaligus memberi peluang kepada mereka untuk meningkat dalam kerjaya dan menggalakkan orang Sabah menyertai perkhidmatan awam bukan sahaja di peringkat negeri, tetapi juga di peringkat persekutuan." jelasnya lagi.

Rais Sokong Orang Sabah Ketuai Jabatan Persekutuan Di Sabah.



Menteri Penerangan Komunikasi Dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim berkata,gesaan beberapa pemimpin Sabah agar Kerajaan Persekutuan memenuhi Perjanjian 20 Perkara termasuk lebih ramai orang Sabah mengetuai jabatan dan agensi persekutuan di negeri ini adalah suatu yang lojikdan perlu diberi perhatian.


" Apa yang dikatakan oleh Senator Maijol adalah suatu yang lojik sebab kita sudah berada di dalam gagasan Malaysia 47 tahun da sudah merdeka selama 53 tahun.

" Kita ingin kembalikan ingatan supaya tidak lupa komitmen penubuhan Malaysia menerusi Suruhanjaya Cobbold, sumbangan-sumbangan pemimpin terdahulu dan juga beberapa komitmen lain yang telah mendahului penubuhan Malaysia yang sebahagian besarnya sudah diterjemahkan dalam perlembagaan." katanya.

UPKO Minta Kerajaan Persekutuan Memenuhi Perjanjian Di Bawah 20 Pekara.


Naib Presiden UPKO,Senator Maijol Manap meminta Kerajaan Persekutuan memenuhi perjanjian di bawah 20 Perkara iaitu perjanjian yang dibuat sebelum pembentukan Malaysia.

Beliau berkata, rakyat di negeri ini sudah bosan dengan kegagalan Kerajaan Persekutuan memenuhi apa yang telah dijanjikan dalam Perjanjian 20 Perkara, walaupun selepas 47 tahun Sabah menjadi sebahagian daripada Malaysia.

Maijol turut mendakwa bahawa Kerajaan Persekutuan sengaja melambatkan pelantikan orang Sabah yang layak mengetuai Jabatan Persekutuan dan Agensi-Agensi di Sabah.

" Alasan untuk sentiasa menolak kenaikan pangkat para pegawai dari kalangan orang Sabah yang layak adalah mereka 'junior' untuk rakan-rakan sejawat di Semenanjung, tetapi kita mesti ingat bahawa isu 'seniority' tidak sah dalam Perjanjian 20 Perkara kerana jika seorang pegawai berkelayakan, dia mesti dilantik mengetuai jabatan." tegas Maijol

Ahad, 8 Ogos 2010

UPKO Mahu Anak Sabah Terajui Jabatan Persekutuan Di Sabah - Madius Tangau


Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) bimbang melihat sikap tidak serius pihak berkuasa dalam menaikan pangkat anak-anak Sabah untuk mengetuai Jabatan Persekutuan di Sabah dalam semangat borneonisasi perkhidmatan awam.

Setiausaha Agung UPKO Datuk Madius Tangau berkata, ibu pejabat UPKO tahu yang anak-anak Sabah lebih daripada layak mengetuai kedua-dua Jabatan Kastam dan Imigresen di Sabah.

“ Tetapi kami mendengar daripada khabar angin bahawa pegawai-pegawai dari tempat lain sekali lagi dilantik masing-masing sebagai Pengarah Kastam dan Imigresen. ”

“ Inilah peluang bagi Kerajaan Persekutuan untuk meningkatkan penyertaan rakyat Malaysia dari Sabah dengan memberi mereka peluang untuk menjadi Ketua Jabatan.”

Bukan berfikiran sempit, tetapi menurut Madius yang juga bekas Ahli Parlimen Tuaran adalah wajar supaya peluang yang saksama diberikan kepada rakyat Malaysia dari Sabah untuk berada dalam kumpulan membuat keputusan jentera Kerajaan.

UPKO berharap, Pegawai paling kanan Sabah dari Jabatan Kastam dan Imigresen dilantik sebagai Pengarah baharu bagi pejabat di Sabah, tegas Madius lagi.

Rabu, 14 Julai 2010

Rakyat Sabah Sokong Isu Jawatan Di Jabatan Persekutuan.

JONNYBONE KURUM Sekarang ini sudah sampai masanya kerajaan pusat beri kita peluang untuk mengurus tadbir negeri kita sendiri,apa lagi mereka sangsi dan ragu-ragu, parti Umno majoriti juga di sini, kalau begitu mereka pun tak percaya dengan pemimpin Umno Sabah,negeri Sabah yang mempunyai landskap budaya yang berbeza, geografi yang luas, parti kompenan yang ramai, jadi yang tahu sangat dengan keadaan ini adalah orang kita.

IBRAHIM HAJI PUDIN Kelayakan dah ada,pengalaman pun dah cukup,memang dah layak mengikut ranking negeri Sabah. Ingat tak Jawatan Pengarah Penerangan Sabah, dipangku selama beberapa tahun oleh anak watan Sabah, kemudian dihantar pula Pengarah yang rankingnya baru naik, sampai Sabah si Pengarah tu sendiri sedar diri dan undur diri, sebab dia tahu orang Sabah jauh lebih layak darinya. Bila dirujuk di Puterajaya tidak adapun Pemimpin Utama kita yang cadangkan namanya, akhirnya terlantik juga sianak Sabah jadi Pengarah kerana dia memang layak menjadi Pengarah.


AWANG PUASA JAMBUL Wajar dan patut di bagi ruang dan peluang anak-anak tempatan menjawat Ketua-Ketua Jabatan Persekutuan , sebagai contoh penjawat Timbalan Pengarah dalam satu jabatan umpamanya disandang oleh anak tempatan lebih 10 tahun dalam jawatan itu .....apa tidak cukupkah pengalaman baginya?

TONY MINGGIR Saya melihat perkara ini bukan sentimen tetapi tuntuan hak yang seharusnya tidak timbul lagi sekiranya pemimpin pusat mendengar keluhan dan rayuan rakyat Sabah sejak sekian lama.
Amalan ‘Rundingan dari dalam’ nampaknya tidak mendatangkan sebarang kesan positif ke arah yang kita harapkan.Oleh itu, media massa harus memainkan peranan tanpa prejudis untuk menyedarkan rakyat Sabah keseluruhannya mengenai perkara ini supaya Kerajaan Persekutuan memberi tindak balas mengikut apa yang rakyat kehendaki.

NOORTAIP SUHAILI Banyak benda kalau nak komen, bukan setakat limpahan Ketua Jabatan dari Semenanjung malah pegawai pelbagai pangkat juga dilimpahi dari Semenanjung. Ada kalanya seolah-olah negeri ini tempat melambak para pegawai yang kurang dikehendaki di Semenanjung. Sebaliknya, ada kalanya negeri ini tempat melantik pekerja baru atau tugasan untuk kenaikan pangkat.

Untuk mendengar keluhan ini pemimpin perlu mengawasi JPA,SPA,SPP dan lain-lain pihak berkuasa penyelaras dan pengambilan pekerja awam agar memasukkan kaedah outonomi bagi negeri-negeri Borneo ini dalam sebarang perlantikan.

Kadang kala pihak-pihak yang berkenaan tidak dapat dipengaruhi oleh dasar negara malah malah lebih niat untuk mengujudkan peluang mengikut negeri, daerah, kaum, bangsa, agama dan politik.Siapa yang membuat keputusan akan dipengaruhi kepentingan tertentu.Kebanyakan keputusan tidak semestinya mengambil kira sokongan pemimpin parti yang memerintah.

Selasa, 13 Julai 2010

Rakyat Sabah Sokong Agar Isu Jawatan Di Jabatan Persekutuan Diselesaikan Segera.

Rakyat di negeri ini melahirkan sokongan atas kenyataan beberapa pemimpin di negeri ini yang menggesa agar pihak Kerajaan Persekutuan memberi peluang kepada anak tempatan Sabah yang sudah berpengalaman dan berlayakan untuk menjawat jawatan tertinggi di mana-mana Jabatan Persekutuan di negeri ini.

Isu Ketua-Ketua Jabatan Persekutuan di negeri Sabah yang masih banyak disandang oleh pegawai dari Semenanjung Malaysia perlu diselesaikan segera, ini penting bagi mengubah sentimen rakyat negeri Sabah yang merasa dianaktirikan dalam soal pembahagian jawatan dalam Jabatan Persekutuan di negeri ini.

Wakil media telah mendapatkan pandangan daripada beberapa penduduk di negeri ini berhubung perkara tersebut.

Penduduk dari Pekan Telipok, Wainin Setimin seorang peniaga, berkata beliau menyokong penuh dengan cadangan beberapa pemimpin negeri supaya rakyat Malaysia di negeri Sabah diberi peluang untuk menjawat jawatan sebagai Pengarah di Jabatan Persekutuan dan juga Agensi Kerajaan Persekutuan yang wujud di negeri ini.

Wainin yakin pucuk pimpinan atasan dapat merasakan denyutan nadi kehendak rakyat di Sabah yang sejak sekian lama telah berulangkali menyuarakan isu yang sama.

“ Secara peribadi saya berpendapat jika sekiranya cadangan serta pandangan dari pemimpin di negeri ini dan juga pandangan serta sokongan rakyat ini dapat direalisasikan, parti yang menjadi pemerintah di Sabah iaitu BN Sabah akan terus mendapat sokongan serta bertambah mantap di negeri ini.” katanya lagi.

Bagi Wilhelmina Mimie Janing, penduduk dari dearah Penampang turut melahirkan rasa gembira dengan pandangan serta gesaan para pemimpin berhubung isu itu.

Wilhelmina yakin, ramai anak jati Sabah yang berpotensi untuk menjawat sebagai Pengarah di mana-mana Jabatan Persekutuan di negeri ini.

Menurut Wilhelmina lagi , seperti yang rakyat di negeri ini sedia maklum ramai di kalangan pegawai senior yang sedang bertugas di Jabatan-Jabatan Persekutuan di negeri ini telahpun berpengalaman dan boleh melaksanakan tugas yang diamanah dengan baik dan berdedikasi.

“ Saya berharap sangat agar isu ini diselesaikan dengan segera ini kerana ramai di kalangan anak tempatan di negeri ini yang berpotensi untuk menjawat jawatan tinggi sebagai Pengarah.

“ Selain itu perlantikan penduduk tempatan juga dapat membantu pihak kerajaan mengurangkan perbelanjaan terhadap pembayaran gaji dan elaun yang tinggi kepada penjawat tinggi jabatan dari Semenanjung ke Sabah.” tegasnya lagi.

Sementara itu, Mohd Fadly Eman, penduduk dari daerah Tuaran berpendapat isu tersebut suatu isu yang belum dapat diselesai sepenuhnya oleh pihak yang berkenaan.

Kata Mohd Fadly, isu tersebut perlu diperhalusi oleh pihak Kerajaan Persekutuan seterusnya dipertimbangkan dengan sewajarnya demi memastikan kepentingan rakyat di negeri ini terjaga dengan sebaik mungkin.

“ Walaupun telah ada usaha ke arah itu, tetapi gerakannya terlalu lambat, sesuai dengan saranan Ketua Pemuda Pergerakan Pemuda Bersatu Sabah, Jahid Jahim yang memohon kepada pucuk pimpinan agar proses tersebut dipercepatkan termasuklah perlantikan-perlantikan keahlian daripada Sabah dalam Lembaga-Lembaga Pengarah samada di Petronas, Felda mahupun badan-badan GLC kerajaan yang lain.” tambah Mohd Fadly.

Manakala bagi Kamaruddin Salindre, penduduk dari daerah Tawau berpendapat isu tersebut merupakan salah satu tuntutan kemerdekaan yang termasuk dalam 20 perkara.

Menurutnya , seharusnya anak tempatan yang sudah berpengalaman dan berkelayakan di Jabatan-Jabatan Persekutuan di negeri ini diberikan peluang untuk mentadbir kerana lebih memahami budaya rakyat di negeri ini.

“ Pemberian jawatan-jawatan tertinggi dalam kerajaan untuk anak-anak Sabah yang berkemampuan adalah penting, kalau jawatan Pengarah di Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional negeri Sabah pun gagal diberikan kepada anak tempatan, apakah maknanya merdeka bersama Tanah Melayu pada usia 47 tahun.” tegas Kamaruddin lagi.

Sebelum ini, isu tersebut turut mendapat reaksi positif dari Ketua Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Jahid Jahim, Ketua Bahagian Parti Bersatu Sabah Bahagian Kiulu, Datuk Louis Rampas merangkap Ahli Majlis Tertinggi Parti Bersatu Sabah, Ahli Majlis Tertinggi Parti Bersatu Sabah, Bahagian Pitas, Ng Loi Tect, Pengerusi Parti SAPP Bahagian Tamparuli, Chua Hian Hock dan Timbalan Presiden Parti SAPP Sabah, Datuk Eric Majimbun.

Sabtu, 10 Julai 2010

Keadilan Untuk Sabah - Jeffrey Kitingan


Dr Jeffry Kitingan pernah menyuarakan perkara ini dalam buku beliau berjodol ' Keadilan Untuk Sabah' agar isu ini di ambil perhatian yang serius oleh kerajaan yang memerintah.

Rasionalnya kata beliau, kita sudah bersama Malaysia selama hampir-hampir 50 tahun.

Justeru itu, sudah tiba masanya bagi kita (anak tempat Sabah) untuk diberi mandat dan kepercayaan menjadi ketua dalam Jabatan-Jabatan Perseketuan yang terletak di Sabah ini, nyata beliau.

Beliau merasakan pegawai dari Sabah telah banyak yang berpengalaman dan berkelayakan untuk menerajui serta mentadbir Jabatan Persekutuan dan agensi di Sabah selaras dengan dasar 1Malaysia.

Malang nya pada ketika itu tiada seorang pun pemimpin politik dari Sabah yang menyokong pandangan beliau. Terutama sekali parti dari komponen BN. kerana pada ketika itu, dikatakan isu ini amat sensitif untuk disuarakan.
Sumber: www.sabahkini.net