Rabu, 14 Julai 2010

Rakyat Sabah Sokong Isu Jawatan Di Jabatan Persekutuan.

JONNYBONE KURUM Sekarang ini sudah sampai masanya kerajaan pusat beri kita peluang untuk mengurus tadbir negeri kita sendiri,apa lagi mereka sangsi dan ragu-ragu, parti Umno majoriti juga di sini, kalau begitu mereka pun tak percaya dengan pemimpin Umno Sabah,negeri Sabah yang mempunyai landskap budaya yang berbeza, geografi yang luas, parti kompenan yang ramai, jadi yang tahu sangat dengan keadaan ini adalah orang kita.

IBRAHIM HAJI PUDIN Kelayakan dah ada,pengalaman pun dah cukup,memang dah layak mengikut ranking negeri Sabah. Ingat tak Jawatan Pengarah Penerangan Sabah, dipangku selama beberapa tahun oleh anak watan Sabah, kemudian dihantar pula Pengarah yang rankingnya baru naik, sampai Sabah si Pengarah tu sendiri sedar diri dan undur diri, sebab dia tahu orang Sabah jauh lebih layak darinya. Bila dirujuk di Puterajaya tidak adapun Pemimpin Utama kita yang cadangkan namanya, akhirnya terlantik juga sianak Sabah jadi Pengarah kerana dia memang layak menjadi Pengarah.


AWANG PUASA JAMBUL Wajar dan patut di bagi ruang dan peluang anak-anak tempatan menjawat Ketua-Ketua Jabatan Persekutuan , sebagai contoh penjawat Timbalan Pengarah dalam satu jabatan umpamanya disandang oleh anak tempatan lebih 10 tahun dalam jawatan itu .....apa tidak cukupkah pengalaman baginya?

TONY MINGGIR Saya melihat perkara ini bukan sentimen tetapi tuntuan hak yang seharusnya tidak timbul lagi sekiranya pemimpin pusat mendengar keluhan dan rayuan rakyat Sabah sejak sekian lama.
Amalan ‘Rundingan dari dalam’ nampaknya tidak mendatangkan sebarang kesan positif ke arah yang kita harapkan.Oleh itu, media massa harus memainkan peranan tanpa prejudis untuk menyedarkan rakyat Sabah keseluruhannya mengenai perkara ini supaya Kerajaan Persekutuan memberi tindak balas mengikut apa yang rakyat kehendaki.

NOORTAIP SUHAILI Banyak benda kalau nak komen, bukan setakat limpahan Ketua Jabatan dari Semenanjung malah pegawai pelbagai pangkat juga dilimpahi dari Semenanjung. Ada kalanya seolah-olah negeri ini tempat melambak para pegawai yang kurang dikehendaki di Semenanjung. Sebaliknya, ada kalanya negeri ini tempat melantik pekerja baru atau tugasan untuk kenaikan pangkat.

Untuk mendengar keluhan ini pemimpin perlu mengawasi JPA,SPA,SPP dan lain-lain pihak berkuasa penyelaras dan pengambilan pekerja awam agar memasukkan kaedah outonomi bagi negeri-negeri Borneo ini dalam sebarang perlantikan.

Kadang kala pihak-pihak yang berkenaan tidak dapat dipengaruhi oleh dasar negara malah malah lebih niat untuk mengujudkan peluang mengikut negeri, daerah, kaum, bangsa, agama dan politik.Siapa yang membuat keputusan akan dipengaruhi kepentingan tertentu.Kebanyakan keputusan tidak semestinya mengambil kira sokongan pemimpin parti yang memerintah.

Selasa, 13 Julai 2010

Rakyat Sabah Sokong Agar Isu Jawatan Di Jabatan Persekutuan Diselesaikan Segera.

Rakyat di negeri ini melahirkan sokongan atas kenyataan beberapa pemimpin di negeri ini yang menggesa agar pihak Kerajaan Persekutuan memberi peluang kepada anak tempatan Sabah yang sudah berpengalaman dan berlayakan untuk menjawat jawatan tertinggi di mana-mana Jabatan Persekutuan di negeri ini.

Isu Ketua-Ketua Jabatan Persekutuan di negeri Sabah yang masih banyak disandang oleh pegawai dari Semenanjung Malaysia perlu diselesaikan segera, ini penting bagi mengubah sentimen rakyat negeri Sabah yang merasa dianaktirikan dalam soal pembahagian jawatan dalam Jabatan Persekutuan di negeri ini.

Wakil media telah mendapatkan pandangan daripada beberapa penduduk di negeri ini berhubung perkara tersebut.

Penduduk dari Pekan Telipok, Wainin Setimin seorang peniaga, berkata beliau menyokong penuh dengan cadangan beberapa pemimpin negeri supaya rakyat Malaysia di negeri Sabah diberi peluang untuk menjawat jawatan sebagai Pengarah di Jabatan Persekutuan dan juga Agensi Kerajaan Persekutuan yang wujud di negeri ini.

Wainin yakin pucuk pimpinan atasan dapat merasakan denyutan nadi kehendak rakyat di Sabah yang sejak sekian lama telah berulangkali menyuarakan isu yang sama.

“ Secara peribadi saya berpendapat jika sekiranya cadangan serta pandangan dari pemimpin di negeri ini dan juga pandangan serta sokongan rakyat ini dapat direalisasikan, parti yang menjadi pemerintah di Sabah iaitu BN Sabah akan terus mendapat sokongan serta bertambah mantap di negeri ini.” katanya lagi.

Bagi Wilhelmina Mimie Janing, penduduk dari dearah Penampang turut melahirkan rasa gembira dengan pandangan serta gesaan para pemimpin berhubung isu itu.

Wilhelmina yakin, ramai anak jati Sabah yang berpotensi untuk menjawat sebagai Pengarah di mana-mana Jabatan Persekutuan di negeri ini.

Menurut Wilhelmina lagi , seperti yang rakyat di negeri ini sedia maklum ramai di kalangan pegawai senior yang sedang bertugas di Jabatan-Jabatan Persekutuan di negeri ini telahpun berpengalaman dan boleh melaksanakan tugas yang diamanah dengan baik dan berdedikasi.

“ Saya berharap sangat agar isu ini diselesaikan dengan segera ini kerana ramai di kalangan anak tempatan di negeri ini yang berpotensi untuk menjawat jawatan tinggi sebagai Pengarah.

“ Selain itu perlantikan penduduk tempatan juga dapat membantu pihak kerajaan mengurangkan perbelanjaan terhadap pembayaran gaji dan elaun yang tinggi kepada penjawat tinggi jabatan dari Semenanjung ke Sabah.” tegasnya lagi.

Sementara itu, Mohd Fadly Eman, penduduk dari daerah Tuaran berpendapat isu tersebut suatu isu yang belum dapat diselesai sepenuhnya oleh pihak yang berkenaan.

Kata Mohd Fadly, isu tersebut perlu diperhalusi oleh pihak Kerajaan Persekutuan seterusnya dipertimbangkan dengan sewajarnya demi memastikan kepentingan rakyat di negeri ini terjaga dengan sebaik mungkin.

“ Walaupun telah ada usaha ke arah itu, tetapi gerakannya terlalu lambat, sesuai dengan saranan Ketua Pemuda Pergerakan Pemuda Bersatu Sabah, Jahid Jahim yang memohon kepada pucuk pimpinan agar proses tersebut dipercepatkan termasuklah perlantikan-perlantikan keahlian daripada Sabah dalam Lembaga-Lembaga Pengarah samada di Petronas, Felda mahupun badan-badan GLC kerajaan yang lain.” tambah Mohd Fadly.

Manakala bagi Kamaruddin Salindre, penduduk dari daerah Tawau berpendapat isu tersebut merupakan salah satu tuntutan kemerdekaan yang termasuk dalam 20 perkara.

Menurutnya , seharusnya anak tempatan yang sudah berpengalaman dan berkelayakan di Jabatan-Jabatan Persekutuan di negeri ini diberikan peluang untuk mentadbir kerana lebih memahami budaya rakyat di negeri ini.

“ Pemberian jawatan-jawatan tertinggi dalam kerajaan untuk anak-anak Sabah yang berkemampuan adalah penting, kalau jawatan Pengarah di Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional negeri Sabah pun gagal diberikan kepada anak tempatan, apakah maknanya merdeka bersama Tanah Melayu pada usia 47 tahun.” tegas Kamaruddin lagi.

Sebelum ini, isu tersebut turut mendapat reaksi positif dari Ketua Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Jahid Jahim, Ketua Bahagian Parti Bersatu Sabah Bahagian Kiulu, Datuk Louis Rampas merangkap Ahli Majlis Tertinggi Parti Bersatu Sabah, Ahli Majlis Tertinggi Parti Bersatu Sabah, Bahagian Pitas, Ng Loi Tect, Pengerusi Parti SAPP Bahagian Tamparuli, Chua Hian Hock dan Timbalan Presiden Parti SAPP Sabah, Datuk Eric Majimbun.

Sabtu, 10 Julai 2010

Keadilan Untuk Sabah - Jeffrey Kitingan


Dr Jeffry Kitingan pernah menyuarakan perkara ini dalam buku beliau berjodol ' Keadilan Untuk Sabah' agar isu ini di ambil perhatian yang serius oleh kerajaan yang memerintah.

Rasionalnya kata beliau, kita sudah bersama Malaysia selama hampir-hampir 50 tahun.

Justeru itu, sudah tiba masanya bagi kita (anak tempat Sabah) untuk diberi mandat dan kepercayaan menjadi ketua dalam Jabatan-Jabatan Perseketuan yang terletak di Sabah ini, nyata beliau.

Beliau merasakan pegawai dari Sabah telah banyak yang berpengalaman dan berkelayakan untuk menerajui serta mentadbir Jabatan Persekutuan dan agensi di Sabah selaras dengan dasar 1Malaysia.

Malang nya pada ketika itu tiada seorang pun pemimpin politik dari Sabah yang menyokong pandangan beliau. Terutama sekali parti dari komponen BN. kerana pada ketika itu, dikatakan isu ini amat sensitif untuk disuarakan.
Sumber: www.sabahkini.net

Mereka Ini Hanya Seperti Layang-Layang - Ghapur


“Mereka ini hanya seperti layang-layang. Siapa yang pegang tali terajunya?,” tanya Ghapur di Parlimen ketika membahaskan titah ucapan DYMM Yang Di Pertuan Agong di sidang Parlimen tahun 2009.

PERUMPAMAAN Ahli Parlimen Kalabakan bahawa perlantikan Anak Negeri Sabah menerajui Ketua Jabatan Persekutuan di Sabah bagaikan permainan layang-layang oleh Kerajaan Persekutuan.

Tegas Ghapur, apa ertinya memberikan jawatan tersebut hanya untuk mengaburi mata rakyat Sabah sedangkan pada dasarnya mereka yang dilantik tidak langsung mempunyai kuasa eksekutif atau kuasa mutlak untuk melicinkan pembangunan di Sabah.

“Apa guna semua ini? Dulu ada Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPPS). Bila mansuhkan JPPS, Kerajaan tubuh Jabatan Pembangunan Negeri (SDO) dan lantik rakyat Sabah sebagai Pengarah SDO. Tapi apa guna jika tidak langsung mempunyai kuasa untuk meluluskan projek kerana semua kena rujuk kepada Federal,” ujar Ghapur yang merujuk kepada Matusin Sunsang yang hanya mempunyai kuasa untuk meluluskan projek RM50,000 sahaja.

Lebih malang lagi kata Ghapur,SDO diletakkan di bawah pengawasan Unit Penyelarasan dan Perlaksanaan (UPP), Jabatan Perdana Menteri dan langsung tidak mempunyai locus standi untuk membelanjakan peruntukan atau meluluskan projek pembangunan tanpa merujuk kepada UPP.

“Mana peruntukan RM1 billion yang dijanjikan? Satu apa pun tidak nampak?,” kata Ghapur lagi sambil membidas menteri kabinet yang lebih suka duduk di Pejabat yang berhawa dingin daripada melawat Sabah yang ketinggalan dan mundur serba-serbi.

Begitu juga dengan Pegawai Kewangan Persekutuan, Haji Yusof Serangit yang kata Ghapur, tidak langsung mempunyai kuasa kerana terajunya dipegang oleh Kerajaan Persekutuan. - Sumber www.sabahkini.net

Isnin, 5 Julai 2010

Eric Majimbun Desak Kerajaan Persekutuan Beri Peluang Kepada Anak Tempatan Sabah.


Ahli Parlimen Kawasan Sepanggar, Datuk Eric Majimbun mendesak agar pihak Kerajaan Persekutuan memberi peluang kepada anak tempatan Sabah yang sudah berpengalaman dan berlayakan untuk menjawat jawatan tertinggi di mana-mana Jabatan Persekutuan di negeri ini.

Menurutnya, sebagai rakyat di negeri ini, anak tempatan yang berpotensi untuk menjawat jawatan tersebut lebih memahami budaya masyarakat di negeri ini dan ini memberi kelebihan kepada mereka berurusan dengan rakyat di negeri ini.

“ Sampai bila Kerajaan Persekutuan mahu membuka peluang ini kepada anak tempatan di negeri Sabah, sudah 47 tahun Sabah bersama dalam Malaysia, malangnya anak tempatan sering dibelakangkan untuk menjawat jawatan yang sepatutnya menjadi hak anak tempatan di negeri ini.

“ Tidak dinafikan memang ada anak tempatan yang menjadi Ketua di Jabatan Persekutuan di negeri ini pada ketika ini, tetapi jumlahnya hanya 3 persen sahaja dan jumlah ini perlu dipertingkatkan.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi media mengulas kenyataan Bekas Ketua Penerangan Umno Bahagian Tuaran, Sulaiman Sabri yang disiarkan di akhbar-akhbar tempatan baru-baru ini.

Tambah Eric lagi yang juga Timbalan Presiden Parti SAPP Sabah, apa yang berlaku sekarang di negeri ini seolah-olah anak tempatan yang mempunyai pengalaman dan berkelayakan tidak boleh bersaing dengan pegawai-pegawai kerajaan dari Semenanjung.

Sedangkan jelas Eric, di negeri ini juga mempunyai sumber tenaga pakar yang berkebolehan dan diiktiraf oleh negara luar.

“ Kenapa anak-anak tempatan di negeri ini yang mempunyai kepakaran sanggup bekerja luar dari negara ini, mereka sanggup bekerja di Amerika, Singapura, Australia sebagai pakar, ini disebabkan kerana kerajaan di negara ini tidak mengambil perhatian sepenuhnya terhadap kepakaran yang mereka miliki.” katanya lagi.

Eric juga turut mencadangkan agar Kerajaan Persekutuan memberi kuasa penuh kepada Ketua-Ketua Jabatan di kalangan anak tempatan di Jabatan Persekutuan bagi membolehkan mereka membuat keputusan tanpa merujuk pihak atasan demi kebaikan penduduk di negeri ini.

Dalam kenyataan Sulaiman di akhbar tempatan baru-baru lalu, Sulaiman berkata masih banyak Ketua-Ketua Jabatan Persekutuan di Sabah disandang pegawai dari Semenanjung sedangkan pada masa yang sama ramai di kalangan anak tempatan di negeri ini yang sudah berpengalaman dan berkelayakan mampu menunaikan tanggungjawab tersebut.

Menurut Sulaiman lagi, penyelesaian isu tersebut penting bagi mengubah sentimen rakyat Sabah yang merasakan dianaktirikan dalam pembahagian jawatan dalam Jabatan Persekutuan di negeri Sabah.

Kata Sulaiman lagi, sudah sampai masanya kepimpinan atasan meneliti perkara tersebut dan memberi peluang kepada anak tempatan Sabah bagi menjawat jawatan-jawatan berkenaan.

Sebelum ini, isu tersebut turut mendapat reaksi positif dari Ketua Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Jahid Jahim, Ketua Bahagian Parti Bersatu Sabah Bahagian Kiulu, Datuk Louis Rampas merangkap Ahli Majlis Tertinggi Parti Bersatu Sabah, Ahli Majlis Tertinggi Parti Bersatu Sabah, Bahagian Pitas, Ng Loi Tect dan Pengerusi Parti SAPP Bahagian Tamparuli, Chua Hian Hock.

Sabtu, 3 Julai 2010

PBS Pitas, SAPP Tamparuli Sokong Isu Jawatan Di Jabatan Persekutuan Diselesaikan Segera.


Pemimpin masyarakat Cina di negeri ini turut menyokong penuh agar Kerajaan Persekutuan memberi peluang kepada anak tempatan Sabah yang telah berpengalaman dan berkelayakan untuk menjawat jawatan tertinggi di Jabatan Persekutuan di negeri ini.

Ketua Bahagian Parti Bersatu Sabah (PBS) Bahagian Pitas, Ng Loi Tect (gambar) berkata Kerajaan Persekutuan harus memberi peluang kepada pegawai-pegawai yang terdiri daripada anak tempatan Sabah yang sedang bertugas di Jabatan Persekutuan di negeri ini.

Ng yang juga Ahli Majlis Tertinggi Parti Bersatu Sabah berkata, pandangan bekas Ketua Penerangan Umno Bahagian Tuaran, Sulaiman Sabri yang mendakwa masih banyak jawatan tertinggi di Jabatan Persekutuan di negeri ini disandang oleh pegawai dari Semenanjung Malaysia memang ada kebenarannya.

“ Saya bersetuju dengan saranan Sulaiman Sabri yang meminta isu tersebut diselesaikan segera oleh Kerajaan Persekutuan, ini penting bagi mengubah sentimen rakyat Sabah yang merasa dianaktirikan dalam soal pembahagian jawatan dalam Jabatan Persekutuan di negeri ini.” tegasnya.

Sementara itu, Ketua Bahagian SAPP Bahagian Tamparuli, Chua Hen Hock turut menyokong penuh isu tersebut agar diambil perhatian oleh Kerajaan Persekutuan.

Menurutnya, pendirian Parti SAPP amat jelas dan isu itu merupakan antara salah satu isu yang diperjuangankan oleh parti itu.

“ Isu ini juga telah disuarakan oleh Ahli Parlimen Spanggar , Erik Mojibun sewaktu sidang di Parlimen, walaupun terdapat anak tempatan yang diberi peluang untuk menjawat jawatan sebagai Pengarah di Jabatan Persekutuan di negeri ini namun ia dalam jumlah yang kecil dan belum memuaskan hati anak tempatan dan juga rakyat di negeri ini.” tambahnya lagi.

Sebelum ini, isu tersebut turut mendapat reaksi positif dari Ketua Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Jahid Jahim dan Ketua Bahagian Parti Bersatu Sabah Bahagian Kiulu, Datuk Louis Rampas merangkap Ahli Majlis Tertinggi Parti Bersatu Sabah.

Dalam kenyataan kedua-dua pemimpin itu, mereka turut menyokong pandangan serta cadangan Sulaiman Sabri berhubung isu itu dan meminta agar Kerajaan Persekutuan mengambil tindakan segera terhadap isu berkenaan.