Sabtu, 3 Julai 2010

PBS Pitas, SAPP Tamparuli Sokong Isu Jawatan Di Jabatan Persekutuan Diselesaikan Segera.


Pemimpin masyarakat Cina di negeri ini turut menyokong penuh agar Kerajaan Persekutuan memberi peluang kepada anak tempatan Sabah yang telah berpengalaman dan berkelayakan untuk menjawat jawatan tertinggi di Jabatan Persekutuan di negeri ini.

Ketua Bahagian Parti Bersatu Sabah (PBS) Bahagian Pitas, Ng Loi Tect (gambar) berkata Kerajaan Persekutuan harus memberi peluang kepada pegawai-pegawai yang terdiri daripada anak tempatan Sabah yang sedang bertugas di Jabatan Persekutuan di negeri ini.

Ng yang juga Ahli Majlis Tertinggi Parti Bersatu Sabah berkata, pandangan bekas Ketua Penerangan Umno Bahagian Tuaran, Sulaiman Sabri yang mendakwa masih banyak jawatan tertinggi di Jabatan Persekutuan di negeri ini disandang oleh pegawai dari Semenanjung Malaysia memang ada kebenarannya.

“ Saya bersetuju dengan saranan Sulaiman Sabri yang meminta isu tersebut diselesaikan segera oleh Kerajaan Persekutuan, ini penting bagi mengubah sentimen rakyat Sabah yang merasa dianaktirikan dalam soal pembahagian jawatan dalam Jabatan Persekutuan di negeri ini.” tegasnya.

Sementara itu, Ketua Bahagian SAPP Bahagian Tamparuli, Chua Hen Hock turut menyokong penuh isu tersebut agar diambil perhatian oleh Kerajaan Persekutuan.

Menurutnya, pendirian Parti SAPP amat jelas dan isu itu merupakan antara salah satu isu yang diperjuangankan oleh parti itu.

“ Isu ini juga telah disuarakan oleh Ahli Parlimen Spanggar , Erik Mojibun sewaktu sidang di Parlimen, walaupun terdapat anak tempatan yang diberi peluang untuk menjawat jawatan sebagai Pengarah di Jabatan Persekutuan di negeri ini namun ia dalam jumlah yang kecil dan belum memuaskan hati anak tempatan dan juga rakyat di negeri ini.” tambahnya lagi.

Sebelum ini, isu tersebut turut mendapat reaksi positif dari Ketua Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Jahid Jahim dan Ketua Bahagian Parti Bersatu Sabah Bahagian Kiulu, Datuk Louis Rampas merangkap Ahli Majlis Tertinggi Parti Bersatu Sabah.

Dalam kenyataan kedua-dua pemimpin itu, mereka turut menyokong pandangan serta cadangan Sulaiman Sabri berhubung isu itu dan meminta agar Kerajaan Persekutuan mengambil tindakan segera terhadap isu berkenaan.

Tiada ulasan: