Rabu, 30 Jun 2010

Louis Rampas - Sokong Anak Tempatan Sabah Diberi Peluang


Isu anak tempatan Sabah yang sudah berpengalaman dan berlayakan yang disarankan oleh beberapa pemimpin di negeri ini supaya diberi peluang untuk menjawat jawatan tertinggi di mana-mana Jabatan Persekutuan di negeri ini turut mendapat reaksi positif daripada Ketua Bahagian Parti Bersatu Sabah Bahagian Kiulu, Datuk Louis Rampas.

Louis yang juga Ahli Majlis Tertinggi PBS menjelaskan, beliau telah membangkit isu tersebut sebanyak dua kali di sidang Dewan Undangan Negeri Sabah.

Sambil membuat perbandingan dengan negeri Sarawak Louis berkata, Sarawak mempunyai lebih banyak anak tempatan yang diberi peluang untuk mengetuai di Jabatan-Jabatan Persekutuan di negeri itu.

“ Apa yang berlaku di Sarawak sepatutnya ia juga dilaksanakan di negeri Sabah, isu ini penting diberi perhatian sewajarnya oleh pucuk pimpinan atasan supaya dapat menghilangkan rasa tidak puas hati dan perasaan warga kelas kedua di kalangan pegawai-pegawai tempatan yang sudah layak mengetuai Jabatan Persekutuan di negeri ini.”

“ Sabah mempunyai banyak pegawai-pegawai di kalangan anak tempatan yang sedang berkhidmat di Jabatan Persekutuan yang sudah layak untuk memegang jawatan yang lebih tinggi di Perkhidmatan Awam Persekutuan dan tidak salah memberikan peluang kepada pegawai-pegawai yang berkenaan. “

Louis yang juga Wakil Rakyat Kiulu berkata demikian ketika dihubungi media menyokong pandangan serta mengulas kenyataan Bekas Ketua Penerangan Umno Bahagian Tuaran, Sulaiman Sabri yang disiarkan di akhbar-akhbar tempatan baru-baru ini.

Dalam kenyataan Sulaiman, beliau berkata masih banyak Ketua-Ketua Jabatan Persekutuan di Sabah disandang pegawai dari Semenanjung sedangkan pada masa yang sama ramai di kalangan anak tempatan di negeri ini yang sudah berpengalaman dan berkelayakan mampu menunaikan tanggungjawab tersebut.

Sebelum ini, Ketua Pemuda Pergerakan Parti Bersatu Sabah (PBS) turut menyokong isu tersebut yang sedang hangat menjadi bualan rakyat di negeri ini.

Ketua Pemudanya, Datuk Jahid Jahim berkata isu tersebut telah diperjuangkan oleh Parti Bersatu Sabah dari awal iaitu proses ‘Borneonisation’.

Menurutnya, Pergerakan Pemuda Parti Bersatu Sabah percaya pucuk pimpinan sedar akan keperluan ini dan yakin akan membuat perubahan-perubahan sesuai dengan sentimen generasi baru Sabah masa kini.

“ Walaupun telah ada usaha ke arah itu, tetapi gerakannya terlalu lambat, oleh itu Pergerakan Pemuda Bersatu Sabah memohon kepada pucuk pimpinan agar proses tersebut dipercepatkan termasuklah perlantikan-perlantikan keahlian daripada Sabah dalam Lembaga-Lembaga Pengarah samada di Petronas, Felda mahupun badan-badan GLC kerajaan yang lain.”

“ Tuntutan ini bukan bermakna kita bersifat ‘Parochial’ tetapi mana-mana anak tempatan Sabah yang sudah berpengalaman dan berkelayakan harus diberikan hak itu.” tambahnya lagi.

Tiada ulasan: