Ahad, 27 Jun 2010

Pemuda PBS Desak Proses Perlantikan Anak Tempatan Sabah Di Jabatan Persekutuan Dipercepatkan - Jahid Jahim


Pergerakan Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) menyokong penuh isu anak tempatan Sabah yang berpengalaman dan berlayakan agar diberi peluang untuk menjawat jawatan tertinggi di mana-mana Jabatan Persekutuan di negeri ini.

Ketua Pemudanya, Datuk Jahid Jahim (Gambar) berkata isu tersebut telah diperjuangkan oleh Parti Bersatu Sabah dari awal iaitu proses ‘Borneonisation’.

Menurutnya, Pergerakan Pemuda Parti Bersatu Sabah percaya pucuk pimpinan sedar akan keperluan ini dan yakin akan membuat perubahan-perubahan sesuai dengan sentimen generasi baru Sabah masa kini.

“ Walaupun telah ada usaha ke arah itu, tetapi gerakannya terlalu lambat, oleh itu Pergerakan Pemuda Bersatu Sabah memohon kepada pucuk pimpinan agar proses tersebut dipercepatkan termasuklah perlantikan-perlantikan keahlian daripada Sabah dalam Lembaga-Lembaga Pengarah samada di Petronas, Felda mahupun badan-badan GLC kerajaan yang lain.”

“ Tuntutan ini bukan bermakna kita bersifat ‘Parochial’ tetapi mana-mana anak tempatan Sabah yang sudah berpengalaman dan berkelayakan harus diberikan hak itu.”

Beliau berkata demikian ketika dihubungi media menyokong pandangan serta mengulas kenyataan Bekas Ketua Penerangan Umno Bahagian Tuaran, Sulaiman Sabri yang disiarkan di akhbar-akhbar tempatan baru-baru ini.

Dalam kenyataan Sulaiman, beliau berkata masih banyak Ketua-Ketua Jabatan Persekutuan di Sabah disandang pegawai dari Semenanjung sedangkan pada masa yang sama ramai dikalangan anak tempatan di negeri ini yang sudah berpengalaman dan berkelayakan mampu menunaikan tanggungjawab tersebut.

Jelas Sulaiman lagi, penyelesaian isu tersebut penting bagi mengubah sentimen rakyat Sabah yang merasakan dianaktirikan dalam pembahagian jawatan dalam Jabatan Persekutuan di negeri Sabah.

Tegas Sulaiman lagi, sudah sampai masanya kepimpinan atasan meneliti perkara tersebut dan memberi peluang kepada anak tempatan Sabah bagi menjawat jawatan-jawatan berkenaan.

Tiada ulasan: