Jumaat, 25 Jun 2010

Selesai Segera Isu Ketua Jabatan Persekutuan - Sulaiman Sabri.


Isu Ketua-Ketua Jabatan Persekutuan di negeri Sabah yang masih banyak disandang oleh pegawai dari Semenanjung Malaysia perlu diselesaikan segera,ini penting bagi mengubah sentimen rakyat Sabah yang merasa dianaktirikan dalam soal pembahagian jawatan dalam Jabatan Persekutuan di negeri ini.

Bekas Ketua Penerangan Umno Bahagian Tuaran, Sulaiman Sabri berkata sudah sampai masanya pihak kepimpinan atasan meneliti perkara ini dan memberikan peluang kepada rakyat Sabah bagi menjawat jawatan-jawatan berkenaan.

Menurut Sulaiman, mungkin rakyat di negeri ini gembira dengan program-program pembaharuan yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak tetapi semua itu tidak akan mampu mengubah sentimen rakyat Sabah yang merasa dianaktirikan dalam soal pembahagian jawatan yang tersebut.

“ Saya ada bertemu dengan ramai rakan-rakan sepersekolahan yang berasal dari negeri Sabah dan bertugas sebagai pegawai di Jabatan-Jabatan atau Agensi-Agensi Kerajaan Persekutuan di negeri Sabah, ramai di antara mereka membangkitkan masalah jawatan Ketua-Ketua Jabatan Persekutuan di negeri Sabah yang kebanyakannya masih disandang oleh rakan-rakan daripada Semenanjung Malaysia.

“ Apabila mendengar keluhan mereka, saya merasa agak terpanggil untuk menyuarakan kepada pihak-pihak yang berkenaan, terutamanya pemimpin-pemimpin kita dari negeri Sabah supaya pemimpin-pemimpin kita dapat mengambil perhatian mengenai keluhan dan masalah mereka. “ Beliau berkata demikian ketika menemui media, baru-baru ini di Kota Kinabalu.

Jelas Sulaiman lagi, kebanyakan proses kenaikan pangkat mereka agak perlahan, antara sebab kononnya jawatan-jawatan yang lebih tinggi kebanyakannya diisi oleh rakan-rakan daripada Semenanjung Malaysia.

Menurutnya, terdapat juga di antara mereka yang asyik memangku jawatan tinggi, tetapi apabila jawatan tersebut kosong, ianya diisi oleh rakan-rakan dari Semenanjung Malaysia, walaupun kononnya mereka yang memangku jawatan itu (Pegawai dari Sabah) sudah berkhidmat agak lama dan sudah layak menduduki jawatan-jawatan lebih tinggi.

“ Saya mencadangkan supaya pemimpin-pemimpin kita dari Sabah dapat membuat kajian mengenai masalah ini dan mengemukakan cadangan-cadangan penyelesaian kepada pucuk pimpinan negara dengan segera sebelum isu ini menimbulkan sentimen negatif rakyat Sabah kepada Kerajaan Persekutuan.

“ Adalah sangat keterlaluan dan menyedihkan kalau rakyat Sabah yang sudah Merdeka selama 47 tahun selepas Sabah bersama-sama Sarawak dan Persekutuan Tanah Melayu yang membentuk Negara Malaysia pada tahun 1963, tetapi masih lagi dianggap tidak layak memegang jawatan-jawatan penting di negeri mereka sendiri.” tegas Sulaiman lagi.

Tiada ulasan: