Jumaat, 17 September 2010

Najib-Kerajaan Tidak Tolak Untuk Lantik Anak Sabah.



Kerajaan tidak menolak cadangan untuk menempatkan anak Sabah sebagai Ketua Jabatan Persekutuan di negeri ini.


Malah, ketika ini, 37 daripada 80 jawatan Ketua Jabatan Persekutuan di peringkat negeri diisi oleh orang Sabah.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, berkata Kerajaan sendiri sentiasa berusaha menghantar mereka yang layak bukan sahaja untuk mengisi Ketua Jabatan Persekutuan di peringkat negeri.

Malah tambah beliau peluang tersebut juga diberikan kepada anak Sabah di peringkat persekutuan di Kuala Lumpur dan Putrajaya.


" Ini sekaligus memberi peluang kepada mereka untuk meningkat dalam kerjaya dan menggalakkan orang Sabah menyertai perkhidmatan awam bukan sahaja di peringkat negeri, tetapi juga di peringkat persekutuan." jelasnya lagi.

Rais Sokong Orang Sabah Ketuai Jabatan Persekutuan Di Sabah.



Menteri Penerangan Komunikasi Dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim berkata,gesaan beberapa pemimpin Sabah agar Kerajaan Persekutuan memenuhi Perjanjian 20 Perkara termasuk lebih ramai orang Sabah mengetuai jabatan dan agensi persekutuan di negeri ini adalah suatu yang lojikdan perlu diberi perhatian.


" Apa yang dikatakan oleh Senator Maijol adalah suatu yang lojik sebab kita sudah berada di dalam gagasan Malaysia 47 tahun da sudah merdeka selama 53 tahun.

" Kita ingin kembalikan ingatan supaya tidak lupa komitmen penubuhan Malaysia menerusi Suruhanjaya Cobbold, sumbangan-sumbangan pemimpin terdahulu dan juga beberapa komitmen lain yang telah mendahului penubuhan Malaysia yang sebahagian besarnya sudah diterjemahkan dalam perlembagaan." katanya.

UPKO Minta Kerajaan Persekutuan Memenuhi Perjanjian Di Bawah 20 Pekara.


Naib Presiden UPKO,Senator Maijol Manap meminta Kerajaan Persekutuan memenuhi perjanjian di bawah 20 Perkara iaitu perjanjian yang dibuat sebelum pembentukan Malaysia.

Beliau berkata, rakyat di negeri ini sudah bosan dengan kegagalan Kerajaan Persekutuan memenuhi apa yang telah dijanjikan dalam Perjanjian 20 Perkara, walaupun selepas 47 tahun Sabah menjadi sebahagian daripada Malaysia.

Maijol turut mendakwa bahawa Kerajaan Persekutuan sengaja melambatkan pelantikan orang Sabah yang layak mengetuai Jabatan Persekutuan dan Agensi-Agensi di Sabah.

" Alasan untuk sentiasa menolak kenaikan pangkat para pegawai dari kalangan orang Sabah yang layak adalah mereka 'junior' untuk rakan-rakan sejawat di Semenanjung, tetapi kita mesti ingat bahawa isu 'seniority' tidak sah dalam Perjanjian 20 Perkara kerana jika seorang pegawai berkelayakan, dia mesti dilantik mengetuai jabatan." tegas Maijol