







Disediakan Oleh : ISMAIL MOHD ROSLI
KOTA BELUD : Para pelatih lepasan Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) di seluruh negara diminta agar terus mengekalkan semangat perpaduan, sayang menyayangi di antara kaum apabila mereka kembali ke pangkuan keluarga masing-masing sebaik sahaja mereka menamatkan latihan.
Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Datuk Dahlan berkata, semangat tersebut itu perlu dipraktikan secara berterusan, ini penting bagi memastikan kemerdekaan, kemakmuran serta keamanan negara dapat terus dipertahankan untuk dinikmati oleh generasi akan datang.
Beliau berkata tujuan latihan PLKN diadakan selain bertujuan menerapkan satu peribadi yang terpuji, disiplin dan semangat waja mempertahankan negara di kalangan kumpulan remaja.
Program itu tambahnya, juga adalah bertujuan untuk memperatkan hubungan di antara pelbagai kaum di seluruh negara yang merupakan asas kekuatan negara ini sejak zaman kemerdekaan lagi.
“ Saya berharap apa yang telah dipelajari dan diterapkan oleh Juru Latih di PLKN kepada para pelatih PLKN yang antara lain menerapkan semangat perpaduan di kalangan pelbagai kaum dan pelbagai kepercayaan agama, sayang menyayangi antara satu sama lain dapat terus dipraktikkan sekembalinya mereka kepangkuan keluarga masing-masing.”
“ Semangat perpaduan dan sikap sayang menyayangi yang diamalkan di negara ini sejak merdeka merupakan asas serta kekuatan kepada kesinambungan kemerdekaan yang kita nikmati hari ini, para remaja perlu meneruskan semangat seumpamanya bagi memastikan generasi mendatang dapat terus berkongsi kemerdekaan yang telah kita warisi dari kepimpinan negara terdahulu.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penutupan Program Latihan Khidmat Negara Kumpulan 3 Siri 6/2009 di Kem Sinar Jaya dekat sini, baru-baru ini.
Hadir sama pada majlis itu antaranya Komandan Kem, Mejar Anuar Al-Shadat Abdul Rahman, Timbalan Komandan Pengurusan, Kapten Mohd Sabri Hj. Mali, Timbalan Komandan Latihan, Juair Masadang @ Abdullah serta para pemimpin masyarakat.
Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata, sejak kebelakangan ini terlalu banyak isu-isu perkauman, keagamaan telah ditimbulkan oleh kumpulan extrimis perkauman dan keagamaan di negara ini.
Katanya niat tidak baik kumpulan extrimis perkauman dan keagamaan menggunakan isu-isu tersebut berniat jahat cuba mengucar kacirkan perpaduan yang sedia terjalin di kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini.
“ Mereka ini cuba menggunakan dan mempengaruhi kumpulan remaja di negara ini untuk bersama-sama mereka memperjuangkan ideologi yang pada dasarnya hanya boleh menghancurkan kemakmuran di negara ini.
“ Sehubungan itu, golongan remaja terutamanya yang telah menamatkan latihan PLKN yang dianggarkan seramai 580 ribu di seluruh negara tidak mudah terpengaruh dan terjebak dengan aktiviti kumpulan extrimis perkauman dan keagamaan yang tidak mendatangkan manafaat kepada kepentingan rakyat dan negara secara keseluruhannya.” tegas Abdul Rahman lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, seramai 213 remaja dari pelbagai lapisan suku kaum dan kepercayaan agama dari seluruh negara telah menamatkan Program Latihan Khidmat Negara Kumpulan 3 Siri 6/2009 di Kem Sinar Jaya, disini.
Sementara itu, Kopalan a/l Krisnan dari Kuala Lumpur telah dipilih sebagai Wira Terbaik Kumpulan 3 Siri 6/2009, manakala Christie Julius dari Keningau pula dipilih sebagai Wirawati Terbaik dalam kumpulan yang sama, bagi kategori Penembak Terbaik Carolyn Jecrey dari Keningau dipilih untuk kumpulan yang sama.