Isnin, 5 Julai 2010

Eric Majimbun Desak Kerajaan Persekutuan Beri Peluang Kepada Anak Tempatan Sabah.


Ahli Parlimen Kawasan Sepanggar, Datuk Eric Majimbun mendesak agar pihak Kerajaan Persekutuan memberi peluang kepada anak tempatan Sabah yang sudah berpengalaman dan berlayakan untuk menjawat jawatan tertinggi di mana-mana Jabatan Persekutuan di negeri ini.

Menurutnya, sebagai rakyat di negeri ini, anak tempatan yang berpotensi untuk menjawat jawatan tersebut lebih memahami budaya masyarakat di negeri ini dan ini memberi kelebihan kepada mereka berurusan dengan rakyat di negeri ini.

“ Sampai bila Kerajaan Persekutuan mahu membuka peluang ini kepada anak tempatan di negeri Sabah, sudah 47 tahun Sabah bersama dalam Malaysia, malangnya anak tempatan sering dibelakangkan untuk menjawat jawatan yang sepatutnya menjadi hak anak tempatan di negeri ini.

“ Tidak dinafikan memang ada anak tempatan yang menjadi Ketua di Jabatan Persekutuan di negeri ini pada ketika ini, tetapi jumlahnya hanya 3 persen sahaja dan jumlah ini perlu dipertingkatkan.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi media mengulas kenyataan Bekas Ketua Penerangan Umno Bahagian Tuaran, Sulaiman Sabri yang disiarkan di akhbar-akhbar tempatan baru-baru ini.

Tambah Eric lagi yang juga Timbalan Presiden Parti SAPP Sabah, apa yang berlaku sekarang di negeri ini seolah-olah anak tempatan yang mempunyai pengalaman dan berkelayakan tidak boleh bersaing dengan pegawai-pegawai kerajaan dari Semenanjung.

Sedangkan jelas Eric, di negeri ini juga mempunyai sumber tenaga pakar yang berkebolehan dan diiktiraf oleh negara luar.

“ Kenapa anak-anak tempatan di negeri ini yang mempunyai kepakaran sanggup bekerja luar dari negara ini, mereka sanggup bekerja di Amerika, Singapura, Australia sebagai pakar, ini disebabkan kerana kerajaan di negara ini tidak mengambil perhatian sepenuhnya terhadap kepakaran yang mereka miliki.” katanya lagi.

Eric juga turut mencadangkan agar Kerajaan Persekutuan memberi kuasa penuh kepada Ketua-Ketua Jabatan di kalangan anak tempatan di Jabatan Persekutuan bagi membolehkan mereka membuat keputusan tanpa merujuk pihak atasan demi kebaikan penduduk di negeri ini.

Dalam kenyataan Sulaiman di akhbar tempatan baru-baru lalu, Sulaiman berkata masih banyak Ketua-Ketua Jabatan Persekutuan di Sabah disandang pegawai dari Semenanjung sedangkan pada masa yang sama ramai di kalangan anak tempatan di negeri ini yang sudah berpengalaman dan berkelayakan mampu menunaikan tanggungjawab tersebut.

Menurut Sulaiman lagi, penyelesaian isu tersebut penting bagi mengubah sentimen rakyat Sabah yang merasakan dianaktirikan dalam pembahagian jawatan dalam Jabatan Persekutuan di negeri Sabah.

Kata Sulaiman lagi, sudah sampai masanya kepimpinan atasan meneliti perkara tersebut dan memberi peluang kepada anak tempatan Sabah bagi menjawat jawatan-jawatan berkenaan.

Sebelum ini, isu tersebut turut mendapat reaksi positif dari Ketua Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Jahid Jahim, Ketua Bahagian Parti Bersatu Sabah Bahagian Kiulu, Datuk Louis Rampas merangkap Ahli Majlis Tertinggi Parti Bersatu Sabah, Ahli Majlis Tertinggi Parti Bersatu Sabah, Bahagian Pitas, Ng Loi Tect dan Pengerusi Parti SAPP Bahagian Tamparuli, Chua Hian Hock.

Tiada ulasan: